Feb 21, 2023 - FASKelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC hari ini mengumumkan AEON BiG sebagai rakan rasmi terbaru Gergasi Merah untuk saingan Liga Malaysia musim 2023 selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian perkongsian jam 1 tengahari sebentar tadi.
Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di AEON BiG Wangsa Maju dan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon dan Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed.
AEON BiG (M) Sdn Bhd merupakan sebahagian daripada rancangan AEON group untuk mengembangkan perniagaan di Asia Tenggara dan mengembangkan lagi operasi Asean. Mereka juga mempunyai pemahaman syarikat yang mendalam mengenai "Pelanggan Didahulukan" serta keperluan pasaran sasaran yang dibantu oleh campuran produk yang optimum.
Dalam kerjasama ini, AEON BiG akan menyediakan barangan keperluan untuk kegunaan skuad Selangor FC selain berkolaborasi bersama Red Giants Team Card untuk penyokong membeli belah dengan mudah. Pemegang Red Giants Team Card akan mendapat 5% diskaun apabila membeli-belah di mana-mana cawangan AEON BiG pada setiap 15 dan 30 haribulan sepanjang musim bolasepak 2023 (tertakluk kepada terma dan syarat).
Menurut Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, "Selaras dengan perkataan 'AEON' yang bermaksud keabadian dalam bahasa Latin, kami amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah untuk tahun ini. Selangor FC merupakan antara sebuah pasukan yang sentiasa mengadakan kerjasama bersama pelbagai jenama. Kami lihat mereka mampu menjaga jalinan ini dengan baik,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon turut berbesar hati dengan kerjasama ini dan merasakan perkongsian ini akan memberi impak yang kuat kepada kedua-dua entiti.
"Kami di Selangor FC amat berbesar hati untuk mengalu-alukan AEON BiG sebagai ahli keluarga baharu Red Giants. Ini membuktikan industri bola sepak tempatan dan khususnya, pasukan kesayangan kami masih dipandang tinggi dan dipercayai oleh syarikat terkemuka seperti AEON BiG untuk melabur dan berkongsi kepakaran antara satu sama lain," tambahnya.
Perkongsian ini akan menyaksikan penjenamaan AEON BiG dipaparkan di stadium pada hari perlawanan serta aset digital Selangor FC untuk musim ini.
Kami di Selangor FC sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan selamat datang ke AEON BiG. Kami berharap kerjasama ini dapat membuka lebih banyak mata daripada syarikat lain di Malaysia khususnya di Selangor untuk turut menjadi rakan rasmi Red Giants.
Sementara itu, hari ini skuad Selangor FC akan menjalani perlawanan persahabatan terakhir sebelum kempen Liga Super Malaysia 2023 membuka tirainya pada 26 Februari ini menentang Kelantan United FC.
Demi Kebanggaan!